Pemuliharaan hidupan liar kurang perhatian, GWP Malaysia gesa libat komuniti tempatan
KUCHING – Tahap kesedaran orang awam terhadap pemuliharaan hidupan liar di negara ini masih ditahap cetek walaupun Malaysia menjadi salah satu negara yang menyertai Global Wildlife Program (GWP).
Pengurus Projek Kebangsaan dan Penasihat Teknikal GWP Malaysia, Norizal Khushairi berkata, sehingga kini masih ramai dalam kalangan masyarakat hanya mengenali spesis Orang Utan tetapi kurang memahami peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem.
“Saya boleh katakan secara umum, masih perlukan penambahbaikan dari segi kefahaman masyarakat berkait impak dan sumbangan hidupan liar kepada alam sekitar. Contoh kalau Orang Utan ini pupus nanti, ada kesan-kesannya, pada alam sekitar dan masing-masing ada peranan.
“Jadi kita maklum bahawa isu berkaitan biodiversiti seperti hidupan liar kurang mendapat perhatian, oleh itu melalui GWP ini kita cuba utamakan kesedaran di peringkat masyarakat tempatan,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, Kerajaan Sarawak melalui Sarawak Forestry Corporation (SFC) melancarkan Sambutan Hari Orang Utan Sedunia di Pusat Hidupan Liar Semenggoh, di sini, bermula 19 hingga 24 Ogos.
Ia dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Tambah beliau, jalinan kerjasama antara GWP Malaysia dan SFC adalah julung kali diadakan bagi membantu mengekalkan populasi Orang Utan liar yang stabil di wilayah itu.
“Projek ini juga menekankan peranan media sebagai saluran utama untuk menyampaikan mesej pemuliharaan kepada masyarakat disamping melibatkan komuniti tempatan melalui inisiatif seperti Community Conservation Area.
“Sebagai contoh, mungkin kita boleh ketengahkan lagi kraf tangan serta tidak langsung aktiviti-aktiviti memulihara spesis itu sendiri (Orang Utan), kerana ada tempat tertentu sekitarnya ada komuniti tempatan,” ujarnya.

Norizal berharap lawatan media ke Pusat Hidupan Liar Semenggoh mampu menjadi langkah awal untuk mendekatkan mesej pemuliharaan kepada orang ramai.
“Ketika ini GWP menfokuskan Orang Utan di Sarawak, Bornean Banteng atau Tembadau Borneo di Sabah manakala Harimau Malaya di Semenanjung dan yang pastinya GWP mempunyai perancangan masa hadapan untuk pemuliharaan hidupan liar lain,” jelasnya.
Kerjasama GWP Malaysia dan SFC pada 2025 memperuntukkan sebanyak AS$479,463 atau kira-kira RM2 juta bagi pelaksanaan pemuliharaan di Sarawak. – MalaysiaGazette
