SFC terima peruntukan RM2 juta dari GWP perkukuh usaha pemuliharaan Orang Utan

KUCHING  – Kerajaan Sarawak melalui Sarawak Forestry Corporation (SFC) menerima peruntukan sebanyak AS$479,463 atau kira-kira RM2 juta daripada Global Wildlife Program (GWP) Malaysia bersempena Hari Orang Utan Sedunia 2025.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, ia bagi menyokong usaha SFC dalam kawalan sempadan, perlindungan habitat serta strategi pemuliharaan yang inklusif bersama komuniti.

Tambahnya, langkah itu membuktikan komitmen jangka panjang SFC dalam melindungi orang utan Borneo (Pongo pygmaeus) serta memelihara biodiversiti negeri.

“Dengan peruntukan yang diperoleh ini pelbagai inisiatif penambaikan telah dirancang bersama Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat seperti memperluaskan fasiliti serta keselamatan pengunjung ke sini.

“Kita juga menyasarkan lebih sejuta hektar kawasan untuk Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA), dan ketika ini sebanyak 234,335 hektar telah dikhaskan bagi pemuliharaan orang utan, iaitu hampir suku daripada keseluruhan sasaran.

“Kawasan utama termasuk Lanjak Entimau Wildlife Sanctuary & Extension, Taman Negara Batang Ai, Taman Negara Sedilu, Taman Negara Ulu Sebuyau, dan Taman Negara Gunung Lesong.

“Kawasan ini juga menyediakan habitat penting kepada hampir 2,000 ekor orang utan liar, dengan 95 peratus daripadanya berada di Lanjak Entimau dan Batang Ai,” katanya dalam sidang media di sini pada Selasa.

MGF19082025_ORANG-UTAN-22-1024x683
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh merasmikan Sambutan Hari Orang Utan Sedunia 2025 di Semenggoh Wildlife Centre, Sarawak. FOTO MUHAIMIN MARWAN, 19 OGOS 2025.

Terdahulu, beliau mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, merasmikan pelancaran Sambutan Hari Orang Utan Sedunia di Pusat Hidupan Liar Semenggoh, di sini, yang bermula 19 hingga 24 Ogos.

Mengulas lanjut katanya, selain perlindungan habitat, SFC turut mengurus Pusat Hidupan Liar Semenggoh dan Pusat Hidupan Liar Matang, yang kini menempatkan 48 ekor orang utan di bawah jagaan.

“Sejak 2007, sebanyak lima ekor anak orang utan kita telah berjaya melepaskan semula ke habitat liar.

“Orang utan ialah simbol warisan semula jadi Sarawak. Kelangsungan hidupnya bergantung kepada usaha kolektif daripada dasar kerajaan, penyelidikan saintifik hingga kepada dedikasi komuniti tempatan,” ujarnya.

GWP adalah kerjasama antarabangsa besar yang menyokong usaha negara menangani perdagangan hidupan liar haram, konflik manusia dengan hidupan liar, serta risiko penularan zoonotik yang dibiayai oleh Kemudahan Alam Sekitar Global dan diterajui Bank Dunia. – MalaysiaGazette

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *