Intip penguat kuasa guna dron

Kuala Lumpur: Modus operandi sindiket jenayah hidupan liar di Malaysia semakin canggih dan sukar dikesan apabila mereka mula menggunakan teknologi terkini seperti dron bagi memantau pergerakan penguat kuasa dan menjalankan aktiviti secara senyap.

Selain itu, sindiket terbabit turut dikesan menggunakan senjata moden dan platform digital termasuk laman web gelap (dark web) untuk menyembunyikan transaksi haram bagi mengaburi pihak berkuasa.

Mendedahkan perkara itu, Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman berkata, kegiatan itu dikesan terus berlaku walaupun pelbagai tindakan bersepadu dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu.

“Walaupun banyak operasi sudah dilaksanakan, jenayah ini kekal menjadi cabaran besar kerana ia membabitkan sindiket terancang yang beroperasi secara rahsia dan merentasi sempadan,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, antara kaedah yang dikesan ialah penjualan spesies hidupan liar dilindungi melalui media sosial seperti Facebook, Instagram, WhatsApp dan Telegram, dengan menggunakan istilah terselindung seperti ‘barang rare’ atau ‘special item’ bagi mengelak dikesan.

“Transaksi pula biasanya dibuat menggunakan akaun keldai supaya jejak kewangan tidak dapat dikesan. Ini menyukarkan proses siasatan kerana suspek sebenar sukar dikenal pasti.

“Sindiket juga menyembunyikan hidupan liar seperti telur penyu, sisik tenggiling dan haiwan eksotik lain dalam bungkusan kurier yang diisytihar sebagai barang biasa,” katanya.

Menurutnya, rampasan terbesar yang pernah direkodkan setakat ini membabitkan kulit harimau Malaya lengkap yang dijadikan trofi hiasan dengan nilai dianggarkan kira-kira RM100,000.

“Kulit harimau dan terbitan lain seperti sisik tenggiling, gading gajah serta haiwan eksotik sangat tinggi nilainya di pasaran gelap luar negara.

“Permintaan dari negara tertentu bagi tujuan perubatan tradisional, hiasan mewah dan simbol status menjadikan Malaysia sebagai lokasi sasaran bagi pemburuan dan transit penyeludupan,” katanya.

Menurut biro terbabit, jenayah itu turut didorong oleh faktor kemiskinan dalam kalangan penduduk tempatan yang menjadikan pemburuan haram sebagai sumber pendapatan.

“Kurangnya kesedaran tentang pemuliharaan spesies turut menyumbang kepada pembabitkan mereka dalam kegiatan ini.

“Selain kawasan hutan yang luas dan terpencil menyukarkan kawalan kerana kekurangan anggota, peralatan serta dana untuk melakukan rondaan secara berkesan.

“Situasi ini digunakan sepenuhnya oleh sindiket yang bergerak dalam kumpulan kecil dan mengenal pasti kawasan panas berdasarkan kelemahan kawalan,” katanya.

Menurut biro itu, pindaan undang-undang dilakukan termasuk memperkenalkan hukuman lebih berat, namun pelaksanaannya masih berdepan kekangan dari segi keberkesanan penguatkuasaan.

“Jika tindakan tidak konsisten dan tiada elemen pencegahan menyeluruh, penjenayah tidak akan gentar dengan hukuman sedia ada,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini tiada ancaman secara langsung diterima oleh anggota biro berkenaan ketika operasi namun risiko tetap ada kerana pemburu haram dipercayai memiliki senjata api.

“Setiap operasi dirancang dengan teliti dan keselamatan anggota menjadi keutamaan.

“Antara usaha yang dijalankan termasuklah Operasi Bersepadu Khazanah bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Sabah Wildlife dan Sarawak Forestry yang memfokuskan pembanterasan pemburuan serta perdagangan hidupan liar dilindungi,” katanya.

Menurut biro itu, KDNKA turut menguatkuasakan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) serta Akta Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam (CITES) terhadap mana-mana pihak yang memiliki produk hidupan liar tanpa permit.

“Premis makanan eksotik, pasar gelap dan restoran disyaki menjadi lokasi simpanan serta penjualan haiwan dilindungi turut diberi tumpuan.

“Agensi penguat kuasa juga bekerjasama dengan Polis Antarabangsa (Interpol) dan agensi luar negara untuk menjejak sindiket antarabangsa berdasarkan maklumat risikan,” katanya.

Kata biro berkenaan, kempen kesedaran awam dilaksanakan menerusi media sosial, termasuk akaun TikTok rasmi WCB/PSK bagi mendidik orang ramai dan menggalakkan laporan terhadap aktiviti mencurigakan.

“Masyarakat boleh menyalurkan maklumat kepada hotline PDRM atau Perhilitan untuk tindakan lanjut.

“Tiada kompromi terhadap penjenayah atau sindiket penyeludupan tidak akan diberi toleransi dan mereka membabitkan boleh disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, Amla dan Akta Komunikasi dan Multimedia jika mempromosikan penjualan secara terbuka di media sosial,” katanya.

Menurut biro terbabit, kerajaan sudah memperketat hukuman termasuk penjara hingga 15 tahun dan denda maksimum RM1 juta bagi kesalahan serius berkaitan hidupan liar.

“Terkini, WCB/PSK mencadangkan penubuhan Operasi Bersepadu Intra/Inter Agensi di bawah satu kepimpinan bersama bagi menyelaras penguatkuasaan secara menyeluruh.

“Dengan pendekatan ini, semua agensi akan bergerak serentak dan tiada ruang untuk manipulasi atau salah guna kuasa kerana setiap tindakan dipantau secara ‘semak dan imbang’,” katanya.

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *